Image Alt

PASUKAN UMA RACING YAMAHA MAJU MOTOR ASIA BUAT KUNJUNG HORMAT KE IBU PEJABAT UMA RACING SEMPENA PUSINGAN KE-2 ARRC 2025

PASUKAN UMA RACING YAMAHA MAJU MOTOR ASIA BUAT KUNJUNG HORMAT KE IBU PEJABAT UMA RACING SEMPENA PUSINGAN KE-2 ARRC 2025

Selangor, 28 Mei 2025 – Pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia hari ini telah membuat kunjung hormat ke ibu pejabat UMA Racing yang dihadiri oleh tiga pelumba sempena pusingan kedua Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini di PETRONAS Sepang International Circuit.

UMA Racing merupakan syarikat terkemuka dalam pengeluaran alat ganti dan komponen motosikal yang berprestasi tinggi. Selain itu, UMA Racing telah lama menjadi penaja utama bagi pasukan ini serta banyak lagi pasukan lain bagi kejohanan sukan permotoran dua roda dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.

Sebagai jenama yang dikenali dengan slogan “Reveal True Performance”, UMA Racing telah membangunkan pelbagai produk berprestasi tinggi yang terbukti keberkesanannya di dalam dan di luar litar. UMA Racing juga mempunyai bahagian kejuruteraan UMA yang sentiasa komited menjalankan ‘Research and Development’ (R&D) menyeluruh menggunakan teknologi terkini bagi memastikan kualiti produk atau alat ganti sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Menurut Alfred Lim Chiu Siong, Penolong Pengurus Besar Jenama UMA Racing, kami sentiasa memberi sokongan penuh kepada pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia dan pasukan-pasukan lain khususnya dalam sukan permotoran. Penajaan ini bukan sahaja membantu pasukan berkembang, tetapi turut memberi impak positif kepada jenama kami. Ia merupakan kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Kunjungan hormat ini turut disertai lima pelumba utama pasukan iaitu Nazirul Izzat (Ayoi), yang kini menduduki tempat ke-8 dalam kategori Underbone 150, kembali ke litar Sepang dengan semangat baru selepas pulih dari kecederaan tahun lalu. Beliau optimis untuk meraih podium hujung minggu ini. Daniel Syahmi, pelumba baru dalam kategori Asia Production 250 (AP250) selepas kejuaraan FIM Junior GP World Championship pada tahun 2024 dan kini berada di kedudukan ke-11 keseluruhan, berharap Litar Sepang akan membawa tuah kepadanya. Beliau juga akan menggunakan motosikal baru iaitu Yamaha R3 bermula dengan pusingan kedua ARRC minggu ini. Manakala pelumba muda berusia 16 tahun, Muhammad Adib Arsyad, dalam kategori Underbone 150, bersedia memberi fokus sepenuhnya kepada perlumbaan di litar kegemarannya ini. Dua pelumba yang menyertai pasukan ini merupakan pelumba antarabangsa daripada Filipina iaitu Eane Jaye dan April King.

Turut kelihatan dalam kunjungan hari ini ialah pelumba Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Hong Leong Yamaha Motor, yang juga salah seorang pelumba di bawah tajaan daripada UMA Racing.

Kunjungan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pasukan dan penaja, tetapi turut membuktikan komitmen UMA Racing dalam membangunkan sukan permotoran tanah air serta menyokong bakat-bakat muda dalam perlumbaan dua roda di peringkat antarabangsa.